Membaca Cetus Kecemerlangan

Membaca Cetus Kecemerlangan

[Photo]
Membaca Cetus Kecemerlangan
MEMBACA merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat dengan menggunakan deria dan minda samaada melalui bahan-bahan bercetak atau media elektronik seperti buku, majalah, komputer dan sebagainya. Deria dan minda yang dicerna dengan ilmu pengetahuan hasil pembacaan akan menjana kehidupan manusia yang sentiasa inginkan perubahan. Sedikit ilmu yang diperolehi akan merangsang minat dan naluri dalam diri untuk menambah ilmu pengetahuan yang lain seterusnya akan terbentuk satu budaya membaca di kalangan masyarakat.

Baru-baru ini, penulis telah diundang untuk menjadi ketua panel hakim bagi Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dan Khemah Membaca Peringkat Kebangsaan 2009 anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Institut Pengurusan Melaka (IMM) dan Jabatan Pelajaran Melaka. Program ini di adakan di Kampung Buku, Taman Botanikal Ayer Keroh Melaka.

Program ini dirasmikan oleh Tn Hj Isa bin Abu, Pengarah Pelajaran Negeri Melaka. Turut hadir pegawai dari Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia dan guru-guru pengiring.Program ini disertai seramai 150 orang pelajar terpilih yang terdiri dari pelajar-pelajar Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah dari seluruh negara.

Program ini bertujuan memberikan kesedaran tentang kepentingan membaca dan melatih pelajar untuk menggunakan masa dengan lebih produktif supaya mereka dapat menikmati keindahan dan keseronokan membaca, di samping menggalakkan orang ramai membeli dan membaca buku. Program ini juga dianjurkan bersempenakan Pesta Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengisian program ini juga turut diadakan ceramah oleh Datuk Prof Dr. Abu Bakar Md Diah, Timbalan Naib Canselor UTeM.

Dalam ceramahnya beliau menjelaskan ‘ketekunan dan kerajinan perlu diterapkan dalam jiwa pelajar bagi menarik minat membaca dan orang yang sentiasa berjaya akan merasai nikmat serta kepuasan kejayaan, akan terus menerus mencipta kejayaan yang lebih besar. Demikian juga bagi para pelajar yang rajin membaca dan berjaya di dalam sebarang bidang yang diceburinya, maka kejayaan itu haruslah diterima dengan syukur dan azam yang tinggi’.

Apa yang penulis perhatikan dan kongsikan ialah gaya atau trend membaca pelajar kini didapati berubah seiring dengan perubahan teknologi. Program Nilam ini jugaturut berubah mengikut trend semasa. Ada dua perkara perlu dimaklumkan apabila kita bercakap mengenai trend membaca dalam kalangan pelajar. Pertama, jenis buku yang menjadi minat mereka. Dalam kajian Pusat Perkembangan Kurikulum, didapati pelajar lebih suka membaca buku berkisar mengenai suatu yang hampir dengan diri mereka, sesuai dengan usia dan persekitaran mereka.Selain daripada buku bukan fiksyen yang berbentuk ilmiah, pelajar lebih terarah untuk membaca buku berkaitan remaja, hubungan dalam konteks usia remaja, serta grafik menarik dengan teks mudah difahami. Oleh itu, pihak pentadbir sekolah yang bertanggungjawab dalam urusan perolehan buku perlu mengambil kira faktor ini dalam usaha membina koleksi di pusat sumber sekolah.

Setiap tahun, kementerian akan mengedarkan Senarai Bahan Bacaan Pusat Sumber Sekolah. Senarai ini adalah senarai bahan bacaan dikemukakan penerbit serta pembekal buku dan sudah melalui proses penilaian. Langkah ini diambil bagi memastikan hanya bahan bacaan berkualiti boleh dibekalkan ke sekolah.

Perkara kedua yang membentuk trend membaca dalam kalangan pelajar kini ialah bentuk buku dibaca. Penulis juga sangat setuju bahawa trend dan minat pelajar sekarang lebih terarah kepada suatu yang bersifat teknologi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kita melihat ini sebagai suatu yang positif dan Program Nilam juga sememangnya sentiasa ditambah baik seiring kemajuan teknologi sedia ada.

Bagi pelaksanaan Program Nilam, pelajar dikehendaki membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya dalam Buku Rekod Nilam. Buku dimaksudkan ialah buku berbentuk fizikal yang dipinjam dari pusat sumber sekolah, perpustakaan awam atau dibeli sendiri. Bagaimanapun seiring kepesatan teknologi, Program Nilam turut menggalakkan mereka membaca buku dalam bentuk digital yang boleh diperoleh dari pusat sumber digital, e-book dan juga cakera padat (CD) atau cakera video digital (DVD).

Malah, mereka juga boleh memuat turun bahan bacaan dari internet untuk dibaca dan disimpan sebagai koleksi peribadi. Kini sudah ada teknologi yang boleh `membacakan’ buku digital untuk kita dan boleh disimpan dalam pemain muzik MP3 serta iPod.

Dengan kepesatan teknologi yang semakin memudahkan kita pada zaman ini, tiada alasan lagi sebenarnya untuk mengatakan tidak ada masa untuk membaca.

Pada peringkat sekolah juga, galakan berbentuk hadiah serta sijil adalah sebahagian pengiktirafan dan ganjarannya. Di kebanyakan sekolah, pelajar terbabit secara aktif dalam Program Nilam diberi ganjaran serta pengiktirafan mengikut kemampuan pihak sekolah, dan kebiasaannya diadakan sewaktu Hari Anugerah Cemerlang.

Kategori pengiktirafan diberikan mengikut jumlah buku dibaca pelajar. Bagi peringkat sekolah rendah, bacaan antara 90 hingga 179 buku, kategori pengiktirafannya ialah gangsa, diikuti 180-269 (perak), 270-359 (emas) dan 360 ke atas (Nilam).

Manakala bagi peringkat sekolah menengah pula, 72-143 buku (gangsa), 144-215 (perak), 216-287 (emas) dan 288 ke atas (Nilam).Usaha utama yang perlu dilakukan ialah dengan mengubah sikap masyarakat yang malas membaca kepada cintakan ilmu pengetahuan dan minat membaca. Kempen untuk menyedarkan masyarakat Malaysia tentang faedah tabiat membaca perlu diadakan secara lebih
sistematik dan meluas termasuk mengadakannya di tempat awam seperti di pusat membeli belah, stesyen bas dan di tempat-tempat lain. Para pentadbir sekolah atau institusi pendidikan tinggi pula, perlu mengadakan minggu membaca atau program yang boleh mencerna diri pelajar untuk membudayakan tabiat membaca.

Penyuburan sikap suka membaca perlu dipupuk di kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam aspek ini. Sebelum kanak-kanak boleh membaca, seharusnya mereka sudah dibiasakan dengan buku samaada memegang, melihat atau menikmati buku secara bercerita. Berdasarkan kajian, 80 hingga 88 % ibu bapa dapat mempengaruhi anak-anak untuk membaca. Disamping itu, ibu bapa perlu juga memperuntukkan perbelanjaan keluarga dengan membeli buku-buku ilmiah.

Budaya membaca, berfikir, menyelidik dan membuat keputusan yang diberikan keutamaan dalam pendidikan akan menguatkan lagi asas pembinaan budaya saintifik dan akhirnya akan melahirkan masyarakat khususnya rakyat Malaysia dan Melaka khususnya yang celik sains, celik teknologi dan celik budaya.

Selagi ada kekuatan dan keinginan, teruskan usaha murni ini untuk mengejar dan mencari peluang untuk mempertingkatkan ilmu melalui amalan membaca. Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Individu yang berjaya mempunyai prinsip diri yang kuat dan keazaman yang utuh. Imam al-Ghazali mengungkapkan: “Sekiranya aku berhajat dengan orang jahil nescaya aku tertewas dan jika aku berhajat dengan orang yang ‘alim pasti aku menemui kemenangan”.

Diharapkan pelaksanaan Program Anugerah Nilam Kebangsaan 2009 akan dapat melahirkan Tokoh Nilam yang benar-benar berketrampilan untuk dijadikan `role model’ kepada pelajar lain. Kita ingin menunjukkan kepada semua pelajar bahawa adanya saling kait yang amat rapat antara budaya membaca dengan kecemerlangan pendidikan.

Mungkin boleh diimbas kembali pada 2004 di mana Tokoh Nilam Kebangsaan tahun itu, Nur Amalina Che Bakri, adalah pelajar terbaik keseluruhan bagi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 dengan mencapai 17 1A. Kemudian, sekali lagi kita berjaya melahirkan Tokoh Nilam Kebangsaan yang juga muncul pelajar terbaik keseluruhan SPM 2007 yang lalu, iaitu Azali Azlan yang memperoleh 20 1A dan satu 2A.

Semoga dengan contoh ditunjukkan itu akan membuka mata semua pihak, termasuk pelajar, pendidik dan ibu bapa, mengenai peri pentingnya membina tabiat membaca dalam diri kita serta menjadikannya satu budaya hidup ke arah kecemerlangan.
Akhir bicara, kepada mereka yang rajin membaca diharapkan usaha murni anda ini akan berkekalan. Penulis menyeru kepada agar kita sama-sama terus menjadikan membaca sebagai satu budaya sama ada kepada diri, ahli keluaga dan masyarakat sekeliling kita.

Ulasan