Peperiksaan UPSR dan PMR Di Mansuhkan?

Peperiksaan UPSR dan PMR Di Mansuhkan?

Ditulis oleh: kulanz | Pada: 22 June 2010
Sebagai mukadimah, sebelum ini banyak pandangan-pandangan individu (secara rawak sama ada yang tertulis atau diucapkan secara lisan) menyatakan bahawa Sistem Pendidikan di Malaysia adalah terlalu berorientasikan peperiksaan untuk mengukur kejayaan seseorang pelajar. Salah satu contoh adalah seperti berikut:
Berbanding negara maju sistem pendidikan di malaysia masih menggunakan peperiksaan sebagai kayu pengukur kejayaan seseorang pelajar. Pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dianggap mampu mencapai kecemerlangan hidup apabila mereka meninggalkan alam persekolahan.
Semalam, Menteri Pelajaran Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan yang berkemungkinan kementerian itu akan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR. Cadangan itu dibuat berikutan pandangan yang kaedah pelaksanaan atau sistem pendidikan negara masa kini terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding ke arah pencapaian Falsafah Pendidikan Negara dan matlamat Kurikulum Sekolah Rendah/Menengah itu sendiri hingga menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai keterampilan tinggi gagal dicapai.

Jika kita terlalu menjurus kepada peperiksaan, ia akan menyebabkan matlamat ke sekolah untuk menuntut ilmu, lebih kreatif dan menambah pengetahuan secara lebih holistik tidak akan dicapai sepenuhnya. – Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada pandangan saya sendiri. Cadangan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR itu memang sangat wajar. Sudah tiba masanya kerajaan memberi peluang kepada Kementerian Pelajaran sendiri mengambil inisiatif untuk melaksanakan strategi pendidikan yang selari dengan matlamat asal kurikulum sekolah dan Dasar Pendidikan Kebangsaan seterusnya memperbaiki kesilapan pelaksanaan sebelum ini. Kesilapan yang sama ada disedari atau tidak disedari.
Penekanan utama ialah Kemahiran Asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Aspek yang tekandung dalam kemahiran asas ialah 3M ialah kemahiran pertuturan, pendengaran, pembacaan, penulisan serta amalan dalam penggunaan empat operasi matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi. Penyerapan nilai-nilai murni dilakukan secara menyeluruh melalui semua mata pelajaran. Bagi mata pelajaran Agama Islam, pengajaran nilai-nilai murni dijalankan secara khusus.
Bukan bermakna sistem sekarang tidak memberi penekanan terhadap ilmu, sahsiah dan penerapan nilai, tetapi matlamat itu kadang kala menjadi perkara nombor 2 untuk dicapai. Matlamat paling utama, pelajar mesti lulus peperiksaan UPSR dan PMR dan mendapat keputusan yang cemerlang. Itu realitinya. Tidak perlu saya sebutan secara terperinci tetapi, kita boleh lihat banyak program-program sokongan yang dilaksanakan/dianjurkan oleh Kementerian/Jabatan Pelajaran lebih menjurus kepada usaha melahirkan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan dan bukannya cemerlang secara menyeluruh.
Akibat daripada itu, timbul pelbagai tekanan dan beban kepada pelajar terutamanya untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan. Tekanan yang dimaksudkan itu mungkin datang daripada guru, ibu bapa, rakan sekolah atau diri sendiri. Selain itu, pendidikan berorientasikan peperiksaan juga turut memberi tekanan kepada guru-guru untuk melaksanakan pelbagai program yang dirancang oleh Kementerian/Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan program sekolah masing-masing.
Pentadbir sekolah tertekan oleh Pegawai Pelajaran Daerah yang ditekan oleh Pengarah Pelajaran Negeri akibat tidak tahan tekanan oleh Kementerian Pelajaran disebabkan tekanan oleh kerajaan yang ditekan oleh masyarakat, terutamanya ibu bapa yang tertekan kerana terpaksa menunggu anak lewat balik dari sekolah (tidak mengikut jadual yang telah ditetapkan pihak sekolah). Akhirnya pelajar akan menyanyi lagu “Bangau oh Bangau”.
Daripada perkara ini berlaku, ada baiknya satu sistem pendidikan yang dipersetujui bersama (oleh semua pihak) dapat diwujudkan di negara ini. Mungkin ianya agak sukar dan saya faham bukan mudah untuk merancang atau melaksanakan satu tranformasi pendidikan, apatah lagi kalau ianya melibatkan perubahan pada sistem pendidikan itu sendiri. Kajian yang mendalam perlu dilakukan dan berkemungkinan memerlukan kos termasuk mewujudkan makmal kajian.

Ulasan