Orang jujur dipermudahkan beribadat
Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara

MENDIDIK anak-anak dengan sifat jujur dan ikhlas sangat penting. Ada pendapat mengatakan, kata-kata seorang yang jujur dapat dipercayai sama dengan perjanjian bertulis yang dilakukan olehnya.

Orang yang jujur akan dihormati oleh semua pihak dan menjadi benteng kepada keimanan. Hikmah jujur adalah ibadah yang mudah dilakukan. Ia sebagai perhiasan daripada hati tanpa berhias, kehebatan tanpa kerajaan, benteng tanpa pagar, kekayaan tanpa meminta daripada orang lain dan dapat menutup segala aib.

Nabi SAW mengingatkan dalam hadisnya yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam." (riwayat Bukhari dan Muslim).

Lantaran itu, percakapan yang baik dan jujur adalah lambang hati yang baik dan ikhlas serta bersih melambangkan akhlakul karimah. Melalui pendidikan di rumah dan di sekolah percakapan yang baik dan jujur boleh dilakukan bagi mendidik hati sentiasa ikhlas.

Mendidik sifat jujur mestilah melalui pendidikan hati. Berazam setiap masa untuk berlaku jujur akan menjadikan seseorang itu bersifat jujur.

Pengalaman daripada musibah juga akan menjadikan seseorang itu bersifat jujur seperti pernah ditipu yang akhirnya membentuknya bersifat jujur.

Sebagai anak pula, seseorang itu mestilah bersifat dan berlaku jujur pada diri sendiri, sahabat, ibu bapa, kaum keluarga, guru dan jiran tetangga.

Sifat jujur juga sangat berkait rapat dengan amanah. Melalui percakapan dan amal perbuatan sifat jujur dapat dilihat daripada seseorang.

Nabi SAW bersabda: "Orang yang diajak bermusyawarah (diminta pendapat) adalah orang yang boleh memegang amanah (jujur, ikhlas dan dapat menyimpan rahsia). (riwayat Ath-Thabrani).

Imam Muslim pernah berwasiat: "Seorang Muslim itu mestilah bersifat benar dan jujur. Berkata benar sekalipun kepada dirinya sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang."

Justeru, seorang Muslim mestilah bersifat benar dan jujur dalam perkataan dan perlakuan.

Sifat jujur ikhlas dan suci hati itu lawannya ialah sifat belot, pembohong, curang, dusta, helah, khianat, pecah amanah, memperdaya, putar belit, seleweng dan tipu.

Oleh itu, jauhi sifat yang buruk itu yang boleh merosakkan nilai diri dan akhlak seseorang.

Seseorang Muslim yang benar dan jujur akan menjurus kepada sifat tawaduk dan merendah diri. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat-sifat dusta dan sifat yang seumpama dengannya yang merupakan penyakit hati.

Sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hingga dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta, sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (riwayat Muttafaqun Alaih).

Lantaran itu, selain mempamerkan sifat benar dan jujur, seorang Muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang lain.

Segala tingkah laku, perbuatan dan percakapan mestilah lahir daripada hati yang tulus dan ikhlas.

Sebagai ibu bapa, mestilah mempamerkan juga sifat benar dan jujur daripada hati sebagai teladan dan ikutan kepada anak-anak.

Ulasan